Azimfamily Azimfamily: Delegasi Women Delivery lawat LPPKN NS9

Delegasi Women Delivery lawat LPPKN NS9

ARKIB : 28/05/2013



Peserta delegasi Women Delivery melihat hasil kraf tangan di Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara di Seremban 2, semalam.







SEREMBAN 27 Mei - Enam delegasi persidangan Women Delivery meluangkan masa melawat Pusat Keluarga, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Seremban 2, di sini hari ini.

Delegasi yang terdiri daripada penulis blog dan aktivis hak asasi manusia dan pembangunan wanita dari negara Asia Pasifik, Amerika Utara dan Eropah itu menyertai lawatan terbabit sebelum menghadiri persidangan berkenaan di Kuala Lumpur bermula esok sehingga Khamis ini.

Pengarah pusat berkenaan, Ramli Shabudin berkata, lawatan itu bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dengan delegasi yang hadir tentang pelaksanaan dan pencapaian program Pusat Keluarga LPPKN setakat ini.

"Kita ingin mendedahkan kepada orang luar tentang peranan LPPKN secara menyeluruh dan pelbagai program dan aktiviti yang terdapat di sini dalam usaha membantu masyarakat khususnya kaum wanita.

"Kami di LPPKN menerima maklum balas yang amat baik daripada delegasi tersebut, rata-rata semuanya mengatakan Pusat Keluarga LPPKN ini sebuah pusat sehenti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan," katanya selepas sesi lawatan tersebut.

Menurutnya, delegasi yang hadir turut memaklumkan bahawa terlalu banyak perbezaan pusat keluarga di negara asal mereka berbanding dengan yang terdapat di Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sembilan ini.

"Kemudahan di sini memenuhi keperluan keluarga dari semua aspek termasuk remaja, kekeluargaan dan pendekatan sosial," katanya.

Delegasi berkenaan mewakili negara masing-masing iaitu Finland, Amerika Syarikat, Indonesia, Afrika Selatan, Jepun dan United Kingdom.

Antara tempat kemudahan di Pusat Keluarga LPPKN yang dilawati delegasi termasuk Pusat Kafe@Teen, Klinik Kesihatan Nur, bilik aktiviti dan kaunseling dan pusat penjagaan kanak-kanak.
Kongsi Konten di :

Tiada ulasan: