MILAN: Tragedi berganda yang menimpa Malaysia Airlines (MAS) berikutan kehilangan pesawat MAS Penerbangan MH370 dan nahas pesawat MH17 serta pendirian Malaysia berhubung insiden berkenaan adalah antara perkara yang dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di pentas Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-10 di sini.
Najib juga berkesempatan merakamkan penghargaan kepada negara-negara yang memberi sokongan kepada Malaysia untuk menduduki kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) ketika membuat intervensi di ASEM selain menyentuh isu berkaitan kumpulan Negara Islam (IS).
Malaysia memperoleh 187 undi dari 192 negara anggota PBB bagi menduduki satu daripada kerusi tidak tetap UNSC itu.
Malaysia Dipilih Anggota Tidak Tetap Majlis Keselamatan PBB 2015-2016
Ketika melakukan intervensi
pada sidang itu, Najib berkata Malaysia akan turut bersama-sama dengan
negara-negara lain untuk mengambil tindakan yang difikirkan patut bagi
memerangi IS.
"Saya juga sebut
bahawa tindakan ketenteraan saja tidak boleh memberi penyelesaian yang tuntas,
tetapi kita harus juga memahami dan memerangi ideologi kefahaman yang berkaitan
dengan kumpulan ini.
"Kita mesti juga
memaparkan pengertian Islam yang sebenarnya dan konsep kesederhanaan dipelopori
Malaysia yang ada kaitan dengan prinsip perseimbangan," katanya kepada
wartawan Malaysia pada hari terakhir beliau di sini Jumaat bagi menghadiri ASEM
dan mesyuarat berkaitan sebelum pulang ke tanah air.
Lebih 50 pemimpin dari Asia
dan Eropah berhimpun di Itali untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEM selama dua
hari bagi membincangkan isu penting dalam sidang bertemakan 'Perkongsian
Bertanggungjawab bagi Pertumbuhan dan Keselamatan yang Mampan'.
Pada pemukiman pemimpin
ASEM pula, Najib berkata banyak isu dibincangkan secara terbuka antaranya
berkaitan ancaman terrorisme, ekstremisme, IS serta perkara-perkara yang patut
dilakukan negara-negara Eropah dan Asia mengenainya.
"Isu di Ukraine dan
isu pertikaian maritim di Laut China Selatan juga antara yang dibincangkan pada
pemukiman itu," katanya.
Selain menghadiri mesyuarat
dan forum berkaitan ASEM, Najib juga menghadiri beberapa siri pertemuan dan
perjumpaan dua hala dengan pemimpin-pemimpin yang menghadiri ASEM antaranya
dari Norway, Jerman, Slovenia, Sweden dan Hungary.
Katanya, Perdana Menteri
Hungary, Viktor Orban, dalam pertemuan mereka menawarkan biasiswa untuk
kira-kira 40 hingga 50 pelajar Malaysia untuk belajar di negara itu selain
memaklumkan akan membuka semula pejabat kedutaan di Kuala Lumpur awal tahun
depan setelah ditutup seketika.
Canselor Jerman, Angela
Merkel dan Perdana Menteri Slovenia, Mirolav Cerar pula menjemput Najib untuk
melakukan lawatan rasmi ke negara mereka.
- BERNAMA http://www.bharian.com.my/node/12282
Tiada ulasan:
Catat Ulasan