SEREMBAN - Bagi menghargai dan mengingati jasa wanita yang
bergelar ibu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan
kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
mengedarkan sebanyak 300 kuntum bunga ros dan 300 mufin, kepada
pengunjung yang datang ke pasaraya AEON Seremban 2, semalam.
Pengarah LPPKN Negeri Sembilan, Ramli Shabudin berkata, program yang bertemakan ‘Respek Wanita’ ini adalah bertujuan untuk menghargai jasa serta pengorbanan ibu, yang selama ini telah menjaga rumah tangga dengan sempurna.
Selain itu katanya, melalui program sedemikian ini juga ia dapat memupuk rasa cinta dan hormat terhadap wanita bergelar ibu.
“Tepat jam 12 tengah hari semalam, kita telah mengedarkan bunga ros dan mufin kepada semua ibu yang terpilih yang berkunjung di pasar raya AEON ini.
“Jika sebelum ini kita membuat sambutan Hari Ibu di semua klinik Nur Sejahtera, tetapi pada kali ini kita mengubah angin dengan mengadakan sambutan di tempat awam sebegini.
“Syukur Alhamdulillah, cubaan kali pertama ini dapat sambutan yang sangat memberangsangkan, dan mungkin kita akan adakan lagi pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pada program sambutan Hari Ibu di AEON Seremban 2, di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah KPWKM, Rashnizahwati Abdul Rashad.
Ramli berkata, bagi memeriahkan lagi sambutan tersebut, pihaknya menganjurkan program perkhidmatan saringan kesihatan reproduktif percuma, di lima Klinik Nur Sejahtera LPPKN seluruh negeri ini.
Katanya, antara perkhidmatan yang disediakan adalah melaksanakan kaedah perancang keluarga, saringan kesejahteraan dan kaunseling keluarga serta individual.
“Promosi percuma ini akan bermula pada hari ini sehingga 15 Mei, bermula jam 8.30 pagi sehingga 5 petang.
“Jika sebelum ini bayaran sebanyak RM10 akan dikenakan kepada pengunjung yang mahu melakukan pemeriksaan saringan ini, tetapi selama tiga tersebut kita akan memberi perkhidmatan percuma,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/perak/bunga-ros-mufin-untuk-mama-1.159626
Tiada ulasan:
Catat Ulasan