Azimfamily Azimfamily: Kasih Sayang

.

Kasih Sayang

ARKIB : 29/01/2010

Persatuan Gerontologi Malaysia anjur kursus
JOHOR BAHRU 28 Jan. - Persatuan Gerontologi Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Johor akan mengadakan seminar bertemakan kasih sayang di sini pada 8 Februari ini.
Seminar sehari yang diadakan di Hotel New York itu akan bermula pada pukul 8 pagi dan dijangka tamat pada pukul 5 petang.
Pengarah LPPKN Johor, Ramli Shabudin dalam kenyataan di sini hari ini berkata, penganjuran seminar tersebut selaras dengan matlamat kerajaan untuk memupuk semula nilai-nilai murni demi mengeratkan hubungan kasih sayang antara generasi tua dan muda.
Katanya, ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan bagi menangani keganasan terhadap insan terutama kanak-kanak, wanita dan warga tua dalam institusi keluarga dan komuniti.
"Tema seminar tersebut ialah 'Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan. Ia dipilih selaras dengan usaha kerajaan untuk mempromosikan pembinaan keluarga bahagia, masyarakat berkualiti, penyayang dan budaya hormat menghormati.
"Dalam pandangan manapun, keluarga dianggap sebagai elemen sistem sosial yang akan membentuk sesebuah masyarakat. Justeru itu, nilai-nilai murni disulam dengan kasih sayang perlu diterapkan bermula di dalam institusi kekeluargaan itu lagi," katanya.
Tambahnya, seminar tersebut juga bertujuan memaksimumkan peluang sedia ada bagi mengekal dan mengukuhkan hubungan antara generasi dalam keluarga atau komuniti.
"Kita juga mahu memberikan input dasar pada agensi-agensi berkaitan tentang perkara berhubung dengan status dan kebajikan warga emas," katanya.
Katanya, kumpulan sasar bagi seminar tersebut adalah agensi kerajaan, swasta dan bukan kerajaan (NGO), pemimpin masyarakat seperti guru dan kaunselor, wakil daripada pelbagai institusi agama dan penuntut institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Setiap penyertaan katanya, dikenakan bayaran RM20 dan untuk keterangan lanjut boleh berhubung dengan Nazileh Ramli di talian 017-2663455.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan: